Isnin, 27 September 2010

Mulianya keperibadian Rasulullah SAW

“Wahai saudaraku! Jangan engkau dekati Muhammad itu. Dia orang gila. Dia pembohong. Dia tukang sihir. Jika engkau mendekatinya, engkau akan dipengaruhinya dan engkau akan menjadi seperti dia.” Kata seorang pengemis buta Yahudi berulang-ulang kali di satu sudut pasar di Madinah setiap pagi sambil tangannya menadah meminta belas orang yang lalu lalang.

Orang yang lalu lalang di pasar itu ada yang menghulurkan sedekah kerana kasihan malah ada juga yang tidak mempedulikan langsung pengemis buta Yahudi itu.

Pada setiap pagi, kata-kata menghina Rasulullah SAW itu tidak lekang daripada mulutnya seolah-olah mengingatkan kepada orang ramai supaya jangan terpedaya dengan ajaran Rasulullah SAW. Jika dibayangkan keadaannya yang mengemis dan buta boleh berkelakuan menghina Rasulullah SAW sedemikian rupa, apatah lagi jika dia insan yang sempurna, kemungkinan perkara lebih teruk akan terjadi ketika itu.

Seperti biasa juga Rasulullah SAW akan ke pasar Madinah untuk mendapatkan keperluan harian di sana. Apabila baginda sampai, baginda terus mendapatkan pengemis buta Yahudi itu dan menyuapkan makanan ke mulut pengemis tersebut dengan lembut bersopan tanpa berkata apa-apa.

Pengemis buta Yahudi yang tidak pernah bertanya siapakah yang menyuapkan makanan kepadanya. Pengemis itu juga amat berselera makan apabila ada orang yang baik hati member dan menyuapkan makanan ke mulutnya.

Perbuatan menyuapkan makanan kepada pengemis buta Yahudi ini dilakukan setiap hari sehinggalah baginda wafat. Semenjak kemangkatan baginda, tiada sesiapa yang sudi menyuapkan makanan kemulut pengemis itu setiap pagi.

Pada satu pagi, Saidina Abu Bakar RA melawat ke rumah anaknya, Siti Aisyah yang juga merupakan isteri Rauslullah SAW. Perbualan diantara anak dan ayah ketika itu menyentuh perihal semasa hayat Rasulullah SAW.

“Wahai anakku Aisyah. Apakah pekara yang Muhammad lakukan semasa hayatnya yang belum ayah ketahui sehingga kini?” Tanya Saidina Abu Bakar sebaiknya duduk di dalam rumah Aisyah.
“Ayahanda ku. Boleh dikatakan apa sahaja yang Rasulullah lakukan semasa hayatnya telah semuanya dilakukan oleh Ayahanda kecuali satu”, kata Aisyah sambil duduk melayan Saidina Abu Bakar RA menghadap hidangan yang disediakan olehnya.

“Apakah dia wahai anakku, Aisyah?”

“Setiap pagi Rasulullah akan membawa makanan untuk disuapkan kepada seorang pengemis buta Yahudi di satu sudut di pasar Madinah dan menyuapkan makanan tersebut ke mulutnya. Sejak pemergian Muhammad, sudah tentu tidak ada sesiapa yang akan menyuapkan makanan kepada pengemis itu lagi”, beritahu Aisyah kepada ayahandanya seoalah-olah kasihan dengan nasib pengemis itu.

“Kalau begitu, ayahanda akan menyambung kerja seperti yang dilakukan oleh Muhammad setiap pagi. Kamu sediakanlah makanan yang selalu dibawa oleh Muhammad untuk pengemis itu,” ujar Saidina Abu Bakar RA kepada anaknya Siti Aisyah.

Keesokkan harinya, Saidina Abu Bakar RA membawa makanan yang sama seperti apa yang Rasulullah SAW berikan kepada pengemis buta itu sebelum ini. Setelah puas mencari, akhirnya Saidina Abu Bakar RA bertemu juga dengan pengemis buta itu. Pengemis buta itu masih juga sama tidak henti-henti menghina Rasulullah SAW. Saidina Abu Bakar segera menghampiri dan terus menyuapkan makanan ke mulut pengemis itu agar kata-katanya yang menghina Rasulullah tidak terkeluar dan menambah luka pilu Saidina Abu Bakar mengenangkan pemergian Rasulullah SAW. Pengemis buta itu juga sentiasa meluahkan kegembiraannya apabila dia mendapat tahu Rasulullah SAW telah wafat.

“Hei … Siapakah kamu? Berani kamu menyuapiku?” Pengemis buta itu mengherdik Saidina Abu bakar RA. Pengemis buta itu terasa lain benar perbuatan Saidina Abu Bakar RA itu.

“Akulah orang yang selalu menyuapimu setiap pagi”, kata Saidina Abu Bakar RA sambil memerhatikan wajah pengemis buta itu yang nampak marah.

“Bukan…!!! Kamu bukan orang yang selalu menyuapiku setiap pagi. Perbuatan orang itu terlalu lembut dan bersopan. Aku dapat merasakannya, dia terlebih dahulu akan menhaluskan makanan itu kemudian barulah menyuap ke mulutku. Tapi kali ini terasa sangat susah untuk aku menelannya,” balas pengemis buta itu sambil menolak tangan Saidina Abu Bakar RA yang masih memegang makanan itu.

“Ya, aku mengaku. Aku bukan orang yang biasa menyuapimu setiap pagi. Aku adalah sahabatnya. Aku menggantikan tempatnya”, beritahu Saidina Abu Bakar RA sambil mengesat air matanya yang sedih melihat perubahan pengemis buta itu dan mengetahui sifat sabar dan pemaaf Rasulullah SAW.

“Tetapi kemanakah perginya orang itu dan siapakah dia?”, Tanya pengemis buta itu.

“Dia ialah Muhammad Rasulullah yang ko hina selama ini. Dia telah kembali ke rahmatullah. Sebab itulah aku menggantikan tempatnya,” jelas Saidina Abu Bakar RA dengan harapan pengemis buta itu berpuas hati.

“Dia Muhammad rasulullah?” kata pengemis buta itu dengan suara terkedu.

“Mengapa kamu terkejut? Dia insan yang sangat mulia,” beritahu Saidina Abu Bakar RA. Tidak semena-mena pengemis buta itu menangis sepuas-puasnya. Setelah agak reda, barulah dia bersuara.

“Benarkah dia Muhammad Rasulullah?” Pengemis buta itu mengulangi lagi pertanyaanya seolah-olah tidak percaya dengan berita yang baru didengarinya.

“Ya benar,” ujar Saidina Abu Bakar RA sekali lagi mengiyakan perihal itu.

“Selama ini aku menghina, aku memfitnahnya tetapi dia sedikit pun tidak pernah memarahiku malah dia terus juga menyuapkan makanan ke mulutku dengan sopan dan lembut. Sekarang aku telah kehilangannya sebelum sempat aku memohon ampun kepadanya"' ujar pengemis buta itu sambil menangis teresak-esak.
"Dia memang insan yang sangat mulia. Kamu tidak akan berjumpa dengan manusia semulia itu selepas ini kerana dia telah meninggalkan kita", beritahu Saidina Abu Bakar RA sambil menepuk bahu pengemis buta itu.
"Kalu begitu, aku mahu kamu menjadi saksi. Aku ingin mengucapkan kalimah syahadah dan aku memohon keampunan Allah", ujar pengemis buta itu.
Selepas peristiwa itu, pengemis itu telah memeluk Islam dihadapan Saidina Abu bakar RA. Keperibadian Rasulullah SAW telah memikat jiwa pengemis buta itu untuk mengaku ke-Esaan Allah SWT.
sumber : Muhd Nasruddin Dasuki, 2010, Aku Sanggup Duhai Muhammad ...., karangkraf PUB.
Bab 5 hlmn 18 - 21

Tiada ulasan:

Catat Ulasan