Khamis, 7 Oktober 2010

Keberkatan 8 Dirham ...

Pagi itu sebelum keluar rumah, Rasulullah SAW begitu asyik memerhatikan satu-satu bajunya yang tinggal. Pakaian itu sudah lama dan perlu diganti. Dia mengambil wang dari tempat simpanan, ternyata ada 8 dirham sahaja. Berbekalkan wang 8 dirham itu Rasulullah SAW menuju ke pasar untuk membeli kain yang baru. Bagaimanapun di pertengahan jalan, Rasullulah SAW bertemu dengan seorang wanita yang sedang menangis. Rasulullah SAW menghampiri dan bertanya, "Mengapa kamu menangis?".
"Saya telah kehilangan wang untuk membeli makanan bagi anak-anakku," balas wanita itu dengan wajah yang sedih.
"Ambillah 2 dirham wang ini dan belilah makanan untuk anak-anakmu," kata Rasulullah SAW sambil menghulurkan wang 2 dirham kepada wanita itu.
"Terima kasih tuan. Semoga Allah membalas budi baik tuan itu," kata wanita itu seraya menerima wang itu dan segera ke pasar.
Rasulullah SAW kemudian meneruskan perjalanan ke pasar. Di pasar, Rasulullah SAW memilih dan membeli pakaian yang berkenaan dihatinya. Rasulullah SAW membeli sepasang baju dengan harga 4 dirham.
Ketika di dalam perjalanan pulang, Rasulullah SAW bertemu pula dengan seorang tua yang tidak berpakaian. Apabila melihat Rasulullah SAW membawa pakaian baru, lelaki tua itu berkata, "Bolehkah tuan berikan pakaian itu untukku yang tidak berpakaian ini?"
Oleh kerana simpati, Rasulullah SAW segera menjawab, "Ambillah, tutupkan tubuhmu dengan pakaian ini." Rasulullah SAW segera memberikan pakaian itu kepada lelaki tua itu.
Berbekalkan baki wang 2 dirham, Rasulullah SAW kembali ke pasar untuk membeli pakaian lain yang dapat dibeli menggunakan baki wang tadi dan tidak sebaik pakaian sebelumnya. Setelah membeli pakaian seadanya, Rasulullah SAW kembali ke rumah.
Ketika dalam perjalanan pulang, Rasulullah bertemu sekali lagi dengan wanita yang kehilangan wang tadi di tempat yang lain pula. Rasulullah SAW menghampiri dan bertanya.
"Mengapakah kamu menangis lagi? Bukankah aku sudah memberikan kamu wang tadi untuk membeli makanan anak-anak mu?" ujar Rasulullah SAW.
"Ya tuan. Saya sudah membeli makanan untuk anak-anakku tetapi saya bimbang, majikan saya akan memarahi saya kerana datang lewat," beritahu wanita itu yang memegang bungkusan makanan.
"Kalau begitu, mari saya hantarkan kamu ke rumah majikan kamu. Saya akan jelaskan kepadanya mengapa kamu datang lambat," pujuk Rasulullah SAW lalu mengiringi wanita itu ke rumah majikannya.
Sesampai sahaja Rasulullah SAW ke rumah majikan wantia tersebut, Rasulullah SAW memberi salam tetapi tedak berjawab seolah-olah rumah itu tidak berpenghuni. Oleh kerana tidak berjawab dan beranggapan tuan rumah itu tidak mendengarnya, Rasulullah SAW memberi salam sekali lagi.
"Assalamualikum warahmatullah," sapa Rasulullah SAW dengan suara yang nyaring. Ucapan salammya itu juga tidak dijawab kemudian Rasulullah memberikan salam ketiga dengan suara yang lebih nyaring.
Dengan pemberian salam yang ketiga inilah baru tuan rumah itu keluar dan menjawab salam rasulullah SAW.
"Maafkan kami ya Rasulullah kerana tidak menjawab pemberian salam Rasulullah tadi. Kami sebenarnya terlalu bahagia apabila mendengar suara Rasulullah dan kami ingin sangat mendengarnya berkali-kali. kami rasakan salam Rasulullah itu membawa berkah kepada kami dan kami tidak menyangka kedatangan Rasulullah ke mari." beritahu tuan rumah kepada majikan wanita yang dihantar pulang itu.
"Terima kasih. Begini, kedatanganku ini kerana menghantarkan pembantumu ini yang sudah terlambat. Dia menagis kerana takut akan dimarahi oleh tuan. Sekiranya dia harus menerima hukuman biarlah aku yang menanggungnya," ujar Rasulullah SAW kepada tuan rumah itu.
Mendengar ucapan Rasulullah itu, tuan rumah itu berasa kagum akan kemuliaan Rasulullah SAW. Dia memandang wajah Rasulullah SAW dengan rasa terharu.
"Ya Rasulullah. Aku telah memaafkannya malah kami sedia membebaskannya," ujar tuan rumah itu kepada Rasulullah SAW disambut dengan kegembiraan wanita tadi.
"Syukur Alhamdulillah ya Rasulullah, saya amat berterima kasih kepada tuan," kata wanita itu tadi lalu berjalan pulang ke rumah untuk memberikan makanan kepada ank-anaknya.
Kemudian Rasulullah SAW pulang ke rumahnya, Rasulullah SAW berasa puas kerana dapat membantu mereka yang memerlukan.
Baginda juga tidak menyangka dengan berkat wang 8 dirham itu, baginda dapat menggunakan dengan sebaik-baiknya dan yang lebih penting dapat membebaskan seorang wanita daripada majikkannya, membantu memberikan belanja makanan kepada anak wanita itu dan membantu orang yang tidak berpakaian.
Subhanallah ...
sumber : Muhd Nasruddin Dasuki, 2010, Aku Sanggup Duhai Muhammad ... , karangkraf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan