Ahad, 24 Oktober 2010

Mendoakan kerahmatan Roh Penjaga Masjid

Setiap kali Rasulullah SAW pergi ke Masjid Nabawi, baginda akan terlihat seorang lelaki berkulit hitam yang tidak tampan sedang membersihkan kawasan masjid di samping menjaga masjid setiap masa.

Walau bagaimanapun kehadiran lelaki berkulit hitam itu tidak diambil peduli oleh mereka yang datang ke Masjid Nabawi untuk menunaikan solat. Para jemaah seolah-olah tidak menghiraukan tugas murni lelaki yang hitam itu ditambah pula keadaannya yang daif.

Sudah menjadi kebiasaan, apabila orang yang tidak dikenali atau daif memberikan bantuan atau sumbangan, jasa mereka tidak diambil peduli oleh orang ramai. Malah kehadiran mereka seolah­olah tidak dipandang oleh orang ramai.

Tetapi berlainan halnya jika sumbangan atau bantuan itu datangnya daripada orang ternama dan berkedudukan, walaupun jasanya sedikit tetapi akan menjadi bualan orang ramai. Seperti biasa juga, lelaki berkulit hitam itu melaksanakan tugasnya membersihkan kawasan masjid disamping menjaganya pada waktu malam. Dia melakukannya dengan rela hati tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

Walaupun lelaki Afrika ini tidal diambil peduli oleh orang ramai tetapi dia tetap setia menjalankan tugasnya menjaga dan membersihkan Masjid Nabawi. Dia akan menjaga kebersihan dan kesucian masjid ini supaya para jemaah yang datang ke masjid berasa selesa.

Berlainan dengan Rasulullah SAW yang sentiasa perasan dengan apa yang dilakukan oleh lelaki Afrika ini. Pada satu ketika, oleh kerana sudah beberapa hari, Rasulullah SAW tidak melihat lelaki berkulit hitam ini di perkarangan masjid. Rasulullah SAW telah bertanya kepada para sahabat.

"Hai sahabat, apakah kamu tidak perasan ke manakah perginya lelaki berkulit hitam yang selalu membersihkan kawasan masjid dan menjaganya pada waktu malam? Sudah beberapa hari ini, saya tidak melihatnya? Adakah sesiapa yang tahu ke mana dia pergi?" Tanya Rasulullah SAW sambil memerhatikan sekitar kawasan masjid yang seolah-olah tidak diurus dengan baik.

"Ya Rasulullah. Lelaki yang Rasulullah maksudkan itu sebenarnya telah meninggal dunia beberapa hari lalu," jawab salah seorang sahabat yang mengetahui perkara itu.

Serta merta wajah Rasulullah SAW berubah. Baginda terkejut kerana tidak diberitahu mengenai kematian lelaki berkulit hitam itu.

"Mengapa kamu tidak memberitahu kematian lelaki itu kepadaku?" Tanya Rasulullah SAW kepada sahabat yang memberitahu tadi.

Para sahabat Rasulullah SAW terdiam kerana tidak menyangka lelaki berkulit hitam dan jarang dipedulikan orang itu sebenarnya mendapat perhatian daripada Rasulullah SAW setiap kali baginda ke masjid.

"Sebenarnya kami tidak menyangka kehadirannya di masjid ini mendapat perhatian Rasulullah dan kami yakin Rasulullah tidak perasan kehadiran lelaki berkulit hitam itu," jawab sahabat Rasulullah SAW itu.

"Mungkin kerana kulitnya yang hitam, mukanya yang hodoh dan kerjanya hanya membersihkan kawasan masjid menyebabkan kamu semuanya tidak menghiraukan kehadirannya?"

Para sahabat Rasulullah SAW yang berasa di situ diam semuanya. Mereka tidak menyangka Rasulullah SAW begitu prihatin sekali kepada mereka yang peranannya kecil tetapi sumbangannya amat besar.

Rasulullah SAW kemudian bertanya lagi, "Kalau begitu, kamu tunjukkan di manakah kubur lelaki itu. Aku ingin sekali menziarahinya."

Para sahabat kemudian membawa Rasulullah SAW menziarahi kubur lelaki yang letaknya tidak jauh dari situ. Sebaik sahaja Rasulullah SAW sampai di kubur lelaki yang masih baru itu, Rasulullah SAW terus berdoa.

"Ya Allah, ya Tuhan kami. Berikanlah rahmat dan keampunan terhadap semua ahli kubur termasuk roh lelaki yang selama ini menjaga kebersihan Masjid Nabawi." Doa Rasulullah SAW kemudian diaminkan oleh para sahabatnya.

Selepas berdoa dan sebelum Rasulullah SAW beredar dari tanah perkuburan itu, Rasulullah SAW telah berpaling kepada para sahabatnya dan berkata, "Selama ini semua penghuni kubur di sini berasa dalam kegelapan. Alhamdulillah sekarang Allah telah memperkenan permohonanku. Allah telah menerangkan semua kubur ini termasuklah kubur lelaki berkulit hitam ini."

Pada malam hari semua kubur di situ didapati bercahaya kerana mendapat rahmat dan keampunan Allah dengan bantuan doa daripada Rasulullah SAW. Peristiwa itu secara tidak langsung memberikan peringatan kepada para sahabat supaya sentiasa menghargai setiap sumbangan kebaikan walaupun sumbangan itu kecil kerana pada hakikatnya sumbangan itu sangat besar di sisi Allah.

"Kamu harus ingat, sesungguhnya Allah menilai sumbangan seseorang bukan berpandukan besar atau kecil, banyak atau sedikit tetapi berpandukan keikhlasan hati mereka yang melakukannya," Rasulullah SAW mengingatkan para sahabatnya.
sumber : Muhd Nasruddin Dasuki, 2010, Aku Sanggup Duhai Muhammad..., Karangkraf hlm 13

Tiada ulasan:

Catat Ulasan