Selasa, 12 Oktober 2010

Doa Rasulullah SAW buat umatnya ...

Menyembunyikan Kelaparan.

Selesai sahaja Rasulullah SAW mengimami solat Subuh berjemaah, sahabat Rasulullah SAW Saidina Umar al-Khattab mendatanginya untuk bertanyakan satu soalan.

“Ya, Rasulullah SAW, bolehkah saya bertanyakan sesuatu yang menjadi musykil kami?” Tanya Saidina Umar al-Khattab sambil dihampiri beberapa orang sahabatnya yang lain.

“Apakah yang kamu musykilkan itu? Beritahu kepada ku?” Rasulullah SAW meminta Saidina Umar al-Khattab memberitahu memandangkan para sahabatnya yang lain seolah-olah segan hendak bersuara.

“Saya berharap Rasulullah SAW tidak tersinggung dengan pertanyaan kami. Begini. Kami perasaan, sewaktu Rasulullah berpindah rukun sembahyang, kami dapat rasakan Rasulullah amat susah sekali seolah-olah Rasulullah menanggung sesuatu penderitaan yang amat berat sekali. Apakah Rasulullah sedang menahan satu penyakit, ya Rasulullah?” Tanya saidina Umar al-Khattab sementara para sahabatnya yang lain tekun mendengarnya.

Rasulullah SAW tersenyum memandang para sahabatnya. Bagaimanapun para sahabatnya berasa hairan dengan sikap Rasulullah SAW itu.

“Aku tidak apa-apa. Aku sihat. Kamu lihatlah aku, apakah aku sedang sakit?” Tanya Rasulullah SAW seraya memandang wajah para sahabatnya.

Saidina Umar al-Khattab yang tidak berpuas hati dengan jawapan itu bertanya lagi, “Tapi ya Rasulullah, setiap kali Rasulullah menggerakkan tubuh, kami seolah-olah terdengar sendi-sendi Rasulullah berbunyi. Kami percaya Rasulullah sedang sakit.”

Rasulullah SAW terdiam seketika. Baginda berasa serba salah apabila didesak untuk menceritakan pekara yang sebenar. Akhirnya Rasulullah mengangkat jubah yang dipakainya ke atas sedikit.

Sebaik sahaja jubah dinaikkan, para sahabatnya terkejut apabila melihat perut Rasulullah SAW yang kempis. Baginda melilit dengan sehelai kain berisi batu-batu kerikil.

“Ya, Rasulullah, mengapakah Rasulullah melakukan sedemikian?” Tanya Saidina Umar yang tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.

“Aku melakukan begitu untuk menahan rasa lapar. Mungkin batu-batu kerikil inilah yang berbunyi dan memusykilkan kamu semua,” balas Rasulullah SAW seraya menurunkan semula jubah yang menutupi perutnya.

“Ya Rasulullah. Adakah Rasulullah berasa malu apabila berasa lapar dan menganggap kami tidak akan berusaha untuk mendapatkan makanan untuk tuan?” Tanya Saidina Umar al-Khattab lagi.

Rasulullah SAW menjawab dengan lembut dan menyenangkan hati para sahabatnya, “Tidak para sahabatku. Aku tahu, kamu tidak akan membiarkan aku kelaparan begini. Aku tahu kamu akan berbuat sesuatu untuk membantuku, tetapi apakah yang akan aku jawab nanti di hadapan Allah? Aku pemimpin, tidak selayaknya aku membebankan orang yang aku pimpin.”
Saidina Umar al-Khattab dan para sahabat menangis kerana sangat terharu dan simpati dengan pengakuan Rasulullah SAW itu serta tidak menyangka baginda sanggup berbuat demikian untuk memastikan umatnya tidak kelaparan sepertinya.

“Barulah kami faham mengapa tuan melakukan demikian. Sesungguhnya tidak ramai pemimpin berhati mulia seperti tuan. Kebanyakkan pemimpin mementingkan diri sendiri dahulu, kemudian barulah orang lain. Kami berasa amat kagum ya Rasulullah,” ujar Saidina Umar al-Khattab.

“Biarlah rasa lapar ini sebagai hadiah daripada Allah untukku. Apa yang aku harapkan tidak ada umatku yang kelaparan di dunia dan akhirat,” tegas Rasulullah SAW.

Sesungguhnya Muhammad itu persuruh Allah.

Sumber : Muhd Nasruddin Dasuki, 2010 , Aku Sanggup Duhai Muhammad .... , karangkraf