Sabtu, 30 Oktober 2010

Takdir : Allah Maha Kaya

Lari dari satu takdir kepada takdir yang lain

Hadis Usamah bin Zaid r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Penyakit taun itu adalah satu tanda atau azab yang dikirimkan kepada Bani Israel atau kepada kaum yang sebelum kamu, maka apabila kamu mendengar khabarnya janganlah datang ke tempat itu dan jika taun itu berjangkit di mana kamu berada, maka janganlah kamu lari daripadanya.

Hadis Abdullah bin Abbas r.a: Sesungguhnya Umar bin Al-Khattab pergi ke Syam. Apabila sampai ke sebuah dusun yang bernama Sarghi, beliau telah dikunjungi oleh penduduk di sekitarnya, iaitu Abu Ubaidah bin Al-Jarrah dan para pengikutnya. Mereka mengkhabarkan bahawa wabak (penyakit taun) telah berjangkit di Syam. Ibnu Abbas berkata setelah mendengar berita itu, Umar berkata: Cuba panggilkan para sahabat Muhajirin yang pertama. Aku melaksanakan perintah Umar. Umar mengajak mereka berbincang dan memberitahu kepada mereka bahawa wabak telah berjangkit di Syam. Mereka telah berbeza-beza pendapat mengenai berita tersebut. Sebahagian di antara mereka berkata: Engkau pergi untuk suatu urusan yang besar, jadi kami tidak sependapat sekiranya engkau pulang. Sebahagian yang lain pula berkata: Engkau diikuti oleh orang ramai dan para sahabat Rasulullah s.a.w, jadi kami tidak bersetuju apabila engkau membawa mereka menuju ke wabak ini. Umar berkata: Tinggalkanlah aku! Kemudian beliau berkata lagi: Tolong panggilkan para sahabat Ansar. Aku pun memanggil mereka. Ketika mereka diminta berbincang, mereka telah berbeza-beza pendapat sebagaimana para sahabat Muhajirin. Umar berkata: Tinggalkanlah aku! Lalu beliau berkata lagi: Tolong panggilkan para pembesar Quraisy yang berhijrah sewaktu penaklukan dan sekarang mereka berada di sana. Aku memanggil mereka dan ternyata mereka telah sepakat kemudian berkata: Menurut kami, sebaik-baiknya engkau bawa sahaja mereka pulang dan tidak mengajak mereka memasuki kawasan wabak ini.

Lalu Umar menyeru di tengah-tengah orang ramai: Aku akan memandu tungganganku untuk pulang, pulanglah bersamaku. Abu Ubaidah bin Al-Jarrah bertanya: Apakah itu bererti lari dari takdir Allah? Umar menjawab: Harapnya bukan engkau yang bertanya wahai Abu Ubaidah! Memang Umar tidak suka berselisih pendapat dengan Abu Ubaidah. Ya, kita lari dari ketentuan (takdir) Allah untuk menuju kepada takdir Allah yang lain. Apakah pendapatmu seandainya engkau mempunyai seekor unta yang turun di suatu lembah yang mempunyai dua keadaan, satunya subur dan satu lagi tandus. Adakah jika engkau mengembalanya pada tempat yang subur itu bukan bererti engkau mengembalanya kerana takdir Allah? Begitu pula sebaliknya, bukankah engkau mengembalanya kerana takdir Allah juga?

Lalu datanglah Abdul Rahman bin Auf yang baru saja tiba dari suatu keperluan. Beliau berkata: Sesungguhnya aku mempunyai pengetahuan mengenai masalah ini. Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila kamu mendengar terdapat wabak di suatu daerah, janganlah kamu datang ke tempatnya. Sebaliknya, sekiranya wabak itu berjangkit di suatu daerah sedangkan kamu berada di sana maka janganlah kamu keluar melarikan diri daripadanya. Mendengar kata-kata itu Umar bin Al-Khattab memuji Allah, kemudian beredar meninggalkan tempat itu.
  1. Allah SWT mempunyai cara tersendiri untuk membahagiakan hamba-hambaNya.
  2. Allah SWT tidak akan menguji diluar kemampuan hamba-hambaNya.
  3. Allah SWT Maha Kaya : Takdir tidak disediakan cuma 1 atau dalam satu garis lurus. Wujud kelbagaian dalam pemilihan takdir.

Ahad, 24 Oktober 2010

Khutbah Terakhir Rasulullah SAW

Khutbah terakhir Rasulullah s.a.w. disampaikan pada 9hb Zulhijjah Tahun 10 Hijriyah di lembah Uranah, Gunung Arafah
WAHAI manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.
Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.
Janganlah kamu sakiti sesiapa pun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu.
Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.
Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar. Maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.
Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan belemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai kedalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
Wahai manusia, dengarlah bersunggah-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah Ibadah Haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama ; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan beramal soleh.
Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari nanti untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu.
Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.
Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain.
Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hambaMu.

Mendoakan kerahmatan Roh Penjaga Masjid

Setiap kali Rasulullah SAW pergi ke Masjid Nabawi, baginda akan terlihat seorang lelaki berkulit hitam yang tidak tampan sedang membersihkan kawasan masjid di samping menjaga masjid setiap masa.

Walau bagaimanapun kehadiran lelaki berkulit hitam itu tidak diambil peduli oleh mereka yang datang ke Masjid Nabawi untuk menunaikan solat. Para jemaah seolah-olah tidak menghiraukan tugas murni lelaki yang hitam itu ditambah pula keadaannya yang daif.

Sudah menjadi kebiasaan, apabila orang yang tidak dikenali atau daif memberikan bantuan atau sumbangan, jasa mereka tidak diambil peduli oleh orang ramai. Malah kehadiran mereka seolah­olah tidak dipandang oleh orang ramai.

Tetapi berlainan halnya jika sumbangan atau bantuan itu datangnya daripada orang ternama dan berkedudukan, walaupun jasanya sedikit tetapi akan menjadi bualan orang ramai. Seperti biasa juga, lelaki berkulit hitam itu melaksanakan tugasnya membersihkan kawasan masjid disamping menjaganya pada waktu malam. Dia melakukannya dengan rela hati tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

Walaupun lelaki Afrika ini tidal diambil peduli oleh orang ramai tetapi dia tetap setia menjalankan tugasnya menjaga dan membersihkan Masjid Nabawi. Dia akan menjaga kebersihan dan kesucian masjid ini supaya para jemaah yang datang ke masjid berasa selesa.

Berlainan dengan Rasulullah SAW yang sentiasa perasan dengan apa yang dilakukan oleh lelaki Afrika ini. Pada satu ketika, oleh kerana sudah beberapa hari, Rasulullah SAW tidak melihat lelaki berkulit hitam ini di perkarangan masjid. Rasulullah SAW telah bertanya kepada para sahabat.

"Hai sahabat, apakah kamu tidak perasan ke manakah perginya lelaki berkulit hitam yang selalu membersihkan kawasan masjid dan menjaganya pada waktu malam? Sudah beberapa hari ini, saya tidak melihatnya? Adakah sesiapa yang tahu ke mana dia pergi?" Tanya Rasulullah SAW sambil memerhatikan sekitar kawasan masjid yang seolah-olah tidak diurus dengan baik.

"Ya Rasulullah. Lelaki yang Rasulullah maksudkan itu sebenarnya telah meninggal dunia beberapa hari lalu," jawab salah seorang sahabat yang mengetahui perkara itu.

Serta merta wajah Rasulullah SAW berubah. Baginda terkejut kerana tidak diberitahu mengenai kematian lelaki berkulit hitam itu.

"Mengapa kamu tidak memberitahu kematian lelaki itu kepadaku?" Tanya Rasulullah SAW kepada sahabat yang memberitahu tadi.

Para sahabat Rasulullah SAW terdiam kerana tidak menyangka lelaki berkulit hitam dan jarang dipedulikan orang itu sebenarnya mendapat perhatian daripada Rasulullah SAW setiap kali baginda ke masjid.

"Sebenarnya kami tidak menyangka kehadirannya di masjid ini mendapat perhatian Rasulullah dan kami yakin Rasulullah tidak perasan kehadiran lelaki berkulit hitam itu," jawab sahabat Rasulullah SAW itu.

"Mungkin kerana kulitnya yang hitam, mukanya yang hodoh dan kerjanya hanya membersihkan kawasan masjid menyebabkan kamu semuanya tidak menghiraukan kehadirannya?"

Para sahabat Rasulullah SAW yang berasa di situ diam semuanya. Mereka tidak menyangka Rasulullah SAW begitu prihatin sekali kepada mereka yang peranannya kecil tetapi sumbangannya amat besar.

Rasulullah SAW kemudian bertanya lagi, "Kalau begitu, kamu tunjukkan di manakah kubur lelaki itu. Aku ingin sekali menziarahinya."

Para sahabat kemudian membawa Rasulullah SAW menziarahi kubur lelaki yang letaknya tidak jauh dari situ. Sebaik sahaja Rasulullah SAW sampai di kubur lelaki yang masih baru itu, Rasulullah SAW terus berdoa.

"Ya Allah, ya Tuhan kami. Berikanlah rahmat dan keampunan terhadap semua ahli kubur termasuk roh lelaki yang selama ini menjaga kebersihan Masjid Nabawi." Doa Rasulullah SAW kemudian diaminkan oleh para sahabatnya.

Selepas berdoa dan sebelum Rasulullah SAW beredar dari tanah perkuburan itu, Rasulullah SAW telah berpaling kepada para sahabatnya dan berkata, "Selama ini semua penghuni kubur di sini berasa dalam kegelapan. Alhamdulillah sekarang Allah telah memperkenan permohonanku. Allah telah menerangkan semua kubur ini termasuklah kubur lelaki berkulit hitam ini."

Pada malam hari semua kubur di situ didapati bercahaya kerana mendapat rahmat dan keampunan Allah dengan bantuan doa daripada Rasulullah SAW. Peristiwa itu secara tidak langsung memberikan peringatan kepada para sahabat supaya sentiasa menghargai setiap sumbangan kebaikan walaupun sumbangan itu kecil kerana pada hakikatnya sumbangan itu sangat besar di sisi Allah.

"Kamu harus ingat, sesungguhnya Allah menilai sumbangan seseorang bukan berpandukan besar atau kecil, banyak atau sedikit tetapi berpandukan keikhlasan hati mereka yang melakukannya," Rasulullah SAW mengingatkan para sahabatnya.
sumber : Muhd Nasruddin Dasuki, 2010, Aku Sanggup Duhai Muhammad..., Karangkraf hlm 13

Memuliakan Anak Perempuan

PADA satu ketika Rasulullah SAW tiada di rumah, seorang perempuan miskin dengan dua orang anaknya hendak bertemu Rasulullah SAW. Oleh kerana Rasulullah SAW tidak ada, perempuan miskin itu bertemu dengan Aisyah RA, isteri Rasulullah SAW.

Oleh kerana kasihan melihatkan perempuan itu dengan dua anak perempuannya, Aisyah RA telah memberikan tiga biji kurma. Kurma itu kemudian diberikan kepada anak-anaknya manakala sedikit untuk dirinya. Kedua-dua anaknya makan kurma itu dengan berselera sekali. Selesai anak-anaknya makan, giliran perempuan itu pula untuk makan sisa kurma untuknya.

Tiba-tiba anaknya itu berkata, "Ibu, jangan makan kurma itu, kami masih lapar."
Melihatkan anak-anak masih perlukan kurma itu, perempuan itu terus memberikan kurma itu untuk dihabiskan. Setelah kenyang perempuan miskin dengan dua anak itu beredar dari situ. Tidak lama kemudian Rasulullah SAW pulang ke rumah. Setelah berehat, Aisyah RA menceritakan peristiwa tadi kepada Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW kemudian berkata, "Barang siapa yang mempunyai tiga anak perempuan dan mereka sabar dalam mendidiknya sama ada dalam keadaan susah atau senang, dia akan dimasukkan Allah ke dalam syurga kerana rahmat Allah terhadap anak-anak itu."

Dalam satu peristiwa lain yang ada hubung kait dengan perkara itu, seorang lelaki bertanya, "Bagaimana jika ada dua anak perempuan ya Rasulullah?"

"Walaupun mempunyai dua anak perempuan, ibu itu juga akan dimasukkan ke dalam syurga," jawab Rasulullah SAW.

Kemudian lelaki itu bertanya lagi, "Bagaimana jika hanya ada satu anak perempuan?"
"Walaupun seorang, ibu itu juga akan dimasukkan ke syurga."

Sehubungan itu, Rasulullah SAW menasihati, "Barangsiapa yang mengeluarkan belanja untuk dua anak perempuan dan memiliki saudara perempuan atau kerabat perempuan atau kaum kerabat perempuan yang patut disediakan belanja untuk keduanya, sehingga keduanya diberi Allah kecukupan atau kemampuan, mereka akan menjadi pendinding (pelindung) dari api neraka."
sumber : Muhd Nasruddin Dasuki, 2010, Aku Sanggup Duhai Muhammad, Karangkraf, hlm 101.

Zikir selepas Solat ...

Dari Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesiapa yang bertasbih (membaca Subhanallah) pada setiap selesai solat 33 kali, tahmid (membaca Alhamdulillah) 33 kali, dan takbir (membaca Allahu Akbar) 33 kali, dan semuanya berjumlah 99.” Nabi bersabda: “Disempurnakan menjadi 100 dengan membaca Laa Ilaaha Illallah Wahdahu Laa Syariikalah Lahul Mulku wa lahul Hamdu wa Huwa ‘Ala Kulli Syai’in Qadir, maka akan diampuni dosa-dosanya walaupun sebanyak buih di lautan.” (HR. Muslim)