Jumaat, 3 Disember 2010

Hidup ini ...

Hari ini sebelum kita mengatakan kata-kata yang tidak baik,
Fikirkan tentang seseorang yang tidak dapat berkata-kata sama sekali.

Sebelum kita mengeluh tentang rasa dari makanan,
Fikirkan tentang seseorang yang tidak punya apapun untuk dimakan.

Sebelum anda mengeluh tidak punya apa-apa,
Fikirkan tentang seseorang yang meminta-minta di jalanan.

Sebelum kita mengeluh bahawa kita buruk,
Fikirkan tentang seseorang yang berada pada keadaan yang terburuk di dalam hidupnya.

Sebelum mengeluh tentang suami atau isteri anda,
Fikirkan tentang seseorang yang memohon kepada Tuhan untuk diberikan teman hidup.

Hari ini sebelum kita mengeluh tentang hidup,
Fikirkan tentang seseorang yang meninggal terlalu cepat.

Sebelum kita mengeluh tentang anak-anak kita,
Fikirkan tentang seseorang yang sangat ingin mempunyai anak tetapi dirinya mandul.

Sebelum kita mengeluh tentang rumah yang kotor kerana pembantu tidak mengerjakan tugasnya,
Fikirkan tentang orang-orang yang tinggal dijalanan.

Dan di saat kita letih dan mengeluh tentang pekerjaan,
Fikirkan tentang pengangguran, orang-orang cacat yang berharap mereka mempunyai pekerjaan seperti kita.

Sebelum kita menunjukkan jari dan menyalahkan orang lain,
Ingatlah bahawa tidak ada seorangpun yang tidak berdosa.

Dan ketika kita sedang bersedih dan hidup dalam kesusahan,
Tersenyum dan berterima kasihlah kepada Tuhan bahawa kita masih hidup !

Sabtu, 6 November 2010

7 Keajaiban Dalam Surah Al Fatihah






Al Fatihah ada tujuh ayat. Kalau kita lihat, tujuh ayat dalam Al Fatihah itu dirangkapkan dua ayat, dua ayat. Ia seolah-olah berbentuk sajak. Hujungnya disamakan iaitu sama ada huruf mim atau huruf nun di akhir setiap ayat. Ada ayat yang berakhir dengan 'mim' dan ada ayat yang akhirnya dengan 'nun'. Ayatnya seolah-olah bahagian akhirnya dipasang-pasangkan. Sebenarnya dalam jumlah ayat Al Fatihah yang tujuh ini, ada hikmah yang besar. Secara isyarat, ia ada hubungan dengan manusia dan dengan ciptaan Tuhan. Antaranya ialah:

1. Tujuh ayat menggambarkan tujuh hari dalam seminggu

Dalam tujuh hari itulah sama ada manusia hendak jadi jahat atau jadi baik, dapat rahmat atau dapat laknat, dapat bahagia atau celaka, jadi kafir atau jadi mukmin, kaya atau susah, sakit atau sihat. Apakah ada hari yang lain selain daripada tujuh hari itu (yakni Ahad hingga Sabtu)? Tentu tidak. Ertinya dalam masa seminggu, kalau seseorang itu benar-benar menghayati Al Quran; yang intipatinya ada dalam tujuh ayat Fatihah itu, sehingga ia benar-benar berperanan dalam hidupnya, maka dalam seminggu itu dia boleh selamat. Kalau Fatihah tidak berperanan pada dirinya dalam seminggu, maka akan kena laknatlah dia. Huru-hara, haru-biru dan celakalah hidupnya.

2. Tujuh ayat berkait dengan tujuh anggota badan

Dalam seminggu itu sama ada manusia jadi baik atau buruk, ditentukan oleh anggota yang tujuh. Sebab itu dalam sembahyang; yang mana sembahyang itu adalah rukun Islam yang kedua; kesemua tujuh anggota ini terlibat atau digunakan. Kalau agama lain, mereka menyembah Tuhan tidak melibatkan semua anggota. Sebaliknya dalam ajaran Islam, semua anggota terlibat untuk tunduk dan patuh kepada Tuhan.

Ketujuh-tujuh anggota itu ialah:

a. Kepala - ini termasuklah anggota-anggota yang ada di kepala seperti mata, mulut, telinga, lidah dan lain-lain. Kegunaan kepala pula ada bermacam-macam jenis.
b. Dua tangan - ia juga banyak peranannya. Ia boleh berbuat baik atau berbuat jahat, boleh bunuh orang, boleh selamatkan atau celakakan orang.
c. Kedua-dua lutut d. Kedua-dua tapak kaki

Dalam solat, anggota-anggota sujud itu merupakan 7 anggota penting tubuh manusia. Semuanya terlibat dalam solat. Dalam doa Iftitah kita menyebut, "Hidupku dan matiku adalah untuk Allah." Ertinya semua anggota yang penting dalam diri kita ini secara tidak langsung sudah kita ikrarkan bahawa kita serahkan pada Allah. Ertinya kita akan menggunakannya ke jalan Allah sebagaimana yang Allah kehendaki. Oleh itu kalau kita sedari dan hayati, apa yang disebut dalam bacaan melibatkan juga anggota dalam perbuatan.

3. Tujuh ayat berkait dengan tujuh Neraka dan tujuh Syurga

Al Fatihah ada 7 ayat. Kalau intipati Quran dapat dihayati atau tidak dapat dihayati, itu yang akan menentukan nasib seseorang nanti sama ada Neraka yang 7 atau Syurga yang 7. Semua ditentukan oleh intipati Al Fatihah. Kalau Al Fatihah berperanan dalam hidupnya, dia akan dapat salah satu dari 7 peringkat Syurga. Kalau tidak dapat dihayati dan tidak dapat dijadikan amalan hidup, dia akan masuk salah satu dari 7 peringkat Neraka.

4. Tujuh ayat itu juga menggambarkan di dunia ini ada 7 lapis langit dan 7 lapis bumi. Di langit ada macam-macam makhluk Tuhan yang ada hubungan dengan kehidupan manusia. Demikian juga dengan tujuh lapis bumi yang ada hubungan dengan kehidupan manusia. Ramai ahli sains yang membuat kajian sudah mengesahkannya tetapi ia setakat hubungan yang lahir.

Sebenarnya ia bukan sekadar hubungan yang lahir sahaja. Manusia bukan hanya berhubung dengan matahari, bulan dan bintang sahaja. Tidak juga hanya berhubungan dengan isi bumi, lautan, hutan, binatang, tanaman dan seumpamanya. Bahkan manusia juga berhubung rapat dengan makhluk yang ghaib seperti malaikat.

Malaikat juga menentukan hidup manusia. Kenapa? Sebab ia juga tumpang mendoakan manusia pada Tuhan dan ia juga boleh tumpang melaknat manusia. Tetapi hal yang ghaib ini ahli sains tidak dapat kesan. Mereka hanya mampu kesan yang lahir seperti hubungan matahari dengan manusia, hubungan bulan, pasang surut air laut, bintang-bintang dengan kehidupan manusia. Tentang malaikat, mereka tidak tahu. Padahal malaikat ikut campur tangan dalam menentukan keselamatan manusia. Mereka juga mendoakan dan memberi berkat dengan izin Tuhan. Mereka juga melaknat manusia dengan izin Tuhan kerana kederhakaan manusia. Perkara yang ghaib ini ahli rohani sahaja yang boleh kesan tetapi saintis tidak boleh kesan.

Selain malaikat, jin-jin juga ada hubungan dengan hidup manusia. Ini tidak dapat dikesan oleh ahli sains, tetapi boleh dikesan oleh ahli-ahli rohani. Apa maksud jin-jin juga terlibat? Jin itu hidupnya ditumpangkan dengan manusia. Dia bergaul dengan manusia. Oleh sebab itu, apa bahasa manusia itulah bahasa jin. Kalau di Malaysia menggunakan bahasa Melayu, jin pun bercakap dalam bahasa Melayu. Di Indonesia, jin bercakap bahasa Indonesia. Kalaulah di Malaysia ada jin yang berbahasa Indonesia, bermakna jin itu berasal dari Indonesia. Jin di negara Arab berbahasa Arab. Jadi jin tumpang bahasa manusia itu untuk menunjukkan manusia lebih mulia dari jin.

Selain itu, jin juga tumpang belajar dengan manusia. Firman Allah di dalam Al Quran: Maksudnya: "Dan (ingatlah) ketika Kami hadapkan serombongan jin kepadamu yang mendengarkan Al Quran, maka tatkala mereka menghadiri pembacaan (nya) lalu mereka berkata, 'Diamlah kamu (untuk mendengarkannya) .' Ketika pembacaan itu selesai mereka kembali kepada kaumnya (untuk) memberi peringatan." (Al Ahqaf: 29)

Mujurlah kita tidak nampak jin sebab kita tidak akan sanggup hendak melihatnya. Begitu juga soal makan. Jin kafir makan tulang-tulang haiwan yang disembelih oleh orang kafir. Jin Islam pula tumpang makan tulang-tulang binatang yang disembelih oleh orang Islam. Oleh sebab itu berhati-hatilah apabila membuang tulang. Buanglah pada tempatnya. Kalau tulang-tulang itu dibiarkan bersepah, jika ada jin yang datang untuk makan lalu terlanggar anak kita maka akan timbul masalah.

5. Tujuh ayat ini kalau kita jadikan panduan, ia boleh didik nafsu kita yang tujuh peringkat. Inilah hikmah terpenting dari jumlah ayat Al Fatehah yang tujuh itu. Makin kita hayati, makin kita dapat mendidik diri dan nafsu kita. Bila dikategorikan, nafsu manusia ada tujuh peringkat iaitu: i. Nafsu ammarah ii. Nafsu lawwamah iii. Nafsu mulhamah iv. Nafsu mutmainnah v. Nafsu radhiah vi. Nafsu mardhiah vii. Nafsu kamilah

Isi Al Quran itu terkandung dalam Al Fatehah yang terdiri dari tujuh ayat. Nafsu ada tujuh peringkat dan ayat Al Fatehah juga ada tujuh. Itu bukan kebetulan. Hikmahnya adalah, kalau Al Fatehah ini dihayati, nafsu boleh menjadi baik. Nafsu itulah yang menentukan celaka atau bahagia, patuh atau tidak patuhnya kita pada Tuhan. Paling-paling lemah, Al Fatehah atau isi Al Quran ini dapat mendidik nafsu sampai ke peringkat mulhamah. Walaupun nafsu mulhamah ini masih belum mantap, masih goyang tapi itu pun dikira sudah baik. Itulah nafsu orang soleh. Manakala mutmainnah pula, ia peringkat nafsu yang sudah istiqamah, sudah tetap serta tidak mudah goyang.

Di sini juga dapat kita faham bahawa manusia akan bermula dengan nafsu yang paling jahat kepada nafsu yang paling baik kalau dia benar-benar mengendalikan nafsunya itu. Kalaulah manusia menghabiskan banyak masanya untuk mempelajari hal-hal yang berkaitan dengan nafsu dan mempraktikkannya, sesungguhnya manusia akan mampu meningkatkan dirinya dari tahap ke tahap. Dia akan dapat meningkatkan dirinya daripada bernafsu ammarah kepada lawwamah, mulhamah, mutmainnah dan paling tinggi akan sampai kepada mardhiah. Namun ada di kalangan manusia yang mampu sampai kepada nafsu kamilah; nafsu yang paling atas; iaitu para nabi dan rasul. Manusia biasa boleh menjangkau sampai nafsu mardhiah sahaja kalau dia sangat berusaha mengendalikan nafsunya.

Cara untuk kita mengendalikan nafsu hingga sampai ke taraf malaikat, itu semua mesti dirujuk kepada Al Quran. Ia tidak boleh dirujuk kepada ilmu jenis lain. Siapa yang boleh menguasai Al Quran sepenuhnya dan mempraktikkan Al Quran terhadap nafsunya, maka dia akan merasai bagaimana dia merangkak beralih dari satu tahap ke satu tahap. Hebatnya Allah kerana menciptakan dalam diri manusia, satu nafsu yang tidak boleh dilihat tetapi memang berperanan. Kalau manusia mahu, dia boleh mentadbir nafsunya itu. Tetapi untuk itu ianya mesti dirujuk kepada Al Quran.

Ayat Al Quran itu terlalu banyak, namun Allah yang Maha Bijak telah meminta kita memberi tumpuan kepada tujuh ayat sahaja. Kalau kita boleh mengambil tujuh ayat ini untuk kita kuasai segala kekuatan yang ada di dalamnya maka kita akan boleh mengendalikan nafsu kita. Yang sebenarnya kalau kita boleh kuasai tujuh ayat itu, kita boleh sampai ke peringkat ketujuh, yang mana nafsu itu boleh kita tadbir dan kuasai. Nabi-nabi boleh melakukannya hingga mereka sampai peringkat ketujuh itu.

Allah yang menciptakan nafsu itu tujuh peringkat, tahu untuk memadankannya dengan tujuh ayat dari surah Al Fatehah itu. Allah SWT menetapkan kekuatan tujuh ayat Al Fatehah itu boleh mengendalikan tujuh peringkat nafsu itu walaupun sifatnya tidak sama. Namun kita seperti diberi amaran bahawa kebanyakan manusia tidak akan mampu untuk mengambil seluruh kekuatan Al Fatehah itu untuk memerangi nafsu sehingga peringkat tertinggi melainkan setakat mulhamah atau paling tinggi mutmainnah.


Sabtu, 30 Oktober 2010

Takdir : Allah Maha Kaya

Lari dari satu takdir kepada takdir yang lain

Hadis Usamah bin Zaid r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Penyakit taun itu adalah satu tanda atau azab yang dikirimkan kepada Bani Israel atau kepada kaum yang sebelum kamu, maka apabila kamu mendengar khabarnya janganlah datang ke tempat itu dan jika taun itu berjangkit di mana kamu berada, maka janganlah kamu lari daripadanya.

Hadis Abdullah bin Abbas r.a: Sesungguhnya Umar bin Al-Khattab pergi ke Syam. Apabila sampai ke sebuah dusun yang bernama Sarghi, beliau telah dikunjungi oleh penduduk di sekitarnya, iaitu Abu Ubaidah bin Al-Jarrah dan para pengikutnya. Mereka mengkhabarkan bahawa wabak (penyakit taun) telah berjangkit di Syam. Ibnu Abbas berkata setelah mendengar berita itu, Umar berkata: Cuba panggilkan para sahabat Muhajirin yang pertama. Aku melaksanakan perintah Umar. Umar mengajak mereka berbincang dan memberitahu kepada mereka bahawa wabak telah berjangkit di Syam. Mereka telah berbeza-beza pendapat mengenai berita tersebut. Sebahagian di antara mereka berkata: Engkau pergi untuk suatu urusan yang besar, jadi kami tidak sependapat sekiranya engkau pulang. Sebahagian yang lain pula berkata: Engkau diikuti oleh orang ramai dan para sahabat Rasulullah s.a.w, jadi kami tidak bersetuju apabila engkau membawa mereka menuju ke wabak ini. Umar berkata: Tinggalkanlah aku! Kemudian beliau berkata lagi: Tolong panggilkan para sahabat Ansar. Aku pun memanggil mereka. Ketika mereka diminta berbincang, mereka telah berbeza-beza pendapat sebagaimana para sahabat Muhajirin. Umar berkata: Tinggalkanlah aku! Lalu beliau berkata lagi: Tolong panggilkan para pembesar Quraisy yang berhijrah sewaktu penaklukan dan sekarang mereka berada di sana. Aku memanggil mereka dan ternyata mereka telah sepakat kemudian berkata: Menurut kami, sebaik-baiknya engkau bawa sahaja mereka pulang dan tidak mengajak mereka memasuki kawasan wabak ini.

Lalu Umar menyeru di tengah-tengah orang ramai: Aku akan memandu tungganganku untuk pulang, pulanglah bersamaku. Abu Ubaidah bin Al-Jarrah bertanya: Apakah itu bererti lari dari takdir Allah? Umar menjawab: Harapnya bukan engkau yang bertanya wahai Abu Ubaidah! Memang Umar tidak suka berselisih pendapat dengan Abu Ubaidah. Ya, kita lari dari ketentuan (takdir) Allah untuk menuju kepada takdir Allah yang lain. Apakah pendapatmu seandainya engkau mempunyai seekor unta yang turun di suatu lembah yang mempunyai dua keadaan, satunya subur dan satu lagi tandus. Adakah jika engkau mengembalanya pada tempat yang subur itu bukan bererti engkau mengembalanya kerana takdir Allah? Begitu pula sebaliknya, bukankah engkau mengembalanya kerana takdir Allah juga?

Lalu datanglah Abdul Rahman bin Auf yang baru saja tiba dari suatu keperluan. Beliau berkata: Sesungguhnya aku mempunyai pengetahuan mengenai masalah ini. Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila kamu mendengar terdapat wabak di suatu daerah, janganlah kamu datang ke tempatnya. Sebaliknya, sekiranya wabak itu berjangkit di suatu daerah sedangkan kamu berada di sana maka janganlah kamu keluar melarikan diri daripadanya. Mendengar kata-kata itu Umar bin Al-Khattab memuji Allah, kemudian beredar meninggalkan tempat itu.
  1. Allah SWT mempunyai cara tersendiri untuk membahagiakan hamba-hambaNya.
  2. Allah SWT tidak akan menguji diluar kemampuan hamba-hambaNya.
  3. Allah SWT Maha Kaya : Takdir tidak disediakan cuma 1 atau dalam satu garis lurus. Wujud kelbagaian dalam pemilihan takdir.

Ahad, 24 Oktober 2010

Khutbah Terakhir Rasulullah SAW

Khutbah terakhir Rasulullah s.a.w. disampaikan pada 9hb Zulhijjah Tahun 10 Hijriyah di lembah Uranah, Gunung Arafah
WAHAI manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.
Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.
Janganlah kamu sakiti sesiapa pun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu.
Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.
Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar. Maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.
Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan belemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai kedalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
Wahai manusia, dengarlah bersunggah-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah Ibadah Haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama ; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan beramal soleh.
Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari nanti untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu.
Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.
Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain.
Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hambaMu.

Mendoakan kerahmatan Roh Penjaga Masjid

Setiap kali Rasulullah SAW pergi ke Masjid Nabawi, baginda akan terlihat seorang lelaki berkulit hitam yang tidak tampan sedang membersihkan kawasan masjid di samping menjaga masjid setiap masa.

Walau bagaimanapun kehadiran lelaki berkulit hitam itu tidak diambil peduli oleh mereka yang datang ke Masjid Nabawi untuk menunaikan solat. Para jemaah seolah-olah tidak menghiraukan tugas murni lelaki yang hitam itu ditambah pula keadaannya yang daif.

Sudah menjadi kebiasaan, apabila orang yang tidak dikenali atau daif memberikan bantuan atau sumbangan, jasa mereka tidak diambil peduli oleh orang ramai. Malah kehadiran mereka seolah­olah tidak dipandang oleh orang ramai.

Tetapi berlainan halnya jika sumbangan atau bantuan itu datangnya daripada orang ternama dan berkedudukan, walaupun jasanya sedikit tetapi akan menjadi bualan orang ramai. Seperti biasa juga, lelaki berkulit hitam itu melaksanakan tugasnya membersihkan kawasan masjid disamping menjaganya pada waktu malam. Dia melakukannya dengan rela hati tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

Walaupun lelaki Afrika ini tidal diambil peduli oleh orang ramai tetapi dia tetap setia menjalankan tugasnya menjaga dan membersihkan Masjid Nabawi. Dia akan menjaga kebersihan dan kesucian masjid ini supaya para jemaah yang datang ke masjid berasa selesa.

Berlainan dengan Rasulullah SAW yang sentiasa perasan dengan apa yang dilakukan oleh lelaki Afrika ini. Pada satu ketika, oleh kerana sudah beberapa hari, Rasulullah SAW tidak melihat lelaki berkulit hitam ini di perkarangan masjid. Rasulullah SAW telah bertanya kepada para sahabat.

"Hai sahabat, apakah kamu tidak perasan ke manakah perginya lelaki berkulit hitam yang selalu membersihkan kawasan masjid dan menjaganya pada waktu malam? Sudah beberapa hari ini, saya tidak melihatnya? Adakah sesiapa yang tahu ke mana dia pergi?" Tanya Rasulullah SAW sambil memerhatikan sekitar kawasan masjid yang seolah-olah tidak diurus dengan baik.

"Ya Rasulullah. Lelaki yang Rasulullah maksudkan itu sebenarnya telah meninggal dunia beberapa hari lalu," jawab salah seorang sahabat yang mengetahui perkara itu.

Serta merta wajah Rasulullah SAW berubah. Baginda terkejut kerana tidak diberitahu mengenai kematian lelaki berkulit hitam itu.

"Mengapa kamu tidak memberitahu kematian lelaki itu kepadaku?" Tanya Rasulullah SAW kepada sahabat yang memberitahu tadi.

Para sahabat Rasulullah SAW terdiam kerana tidak menyangka lelaki berkulit hitam dan jarang dipedulikan orang itu sebenarnya mendapat perhatian daripada Rasulullah SAW setiap kali baginda ke masjid.

"Sebenarnya kami tidak menyangka kehadirannya di masjid ini mendapat perhatian Rasulullah dan kami yakin Rasulullah tidak perasan kehadiran lelaki berkulit hitam itu," jawab sahabat Rasulullah SAW itu.

"Mungkin kerana kulitnya yang hitam, mukanya yang hodoh dan kerjanya hanya membersihkan kawasan masjid menyebabkan kamu semuanya tidak menghiraukan kehadirannya?"

Para sahabat Rasulullah SAW yang berasa di situ diam semuanya. Mereka tidak menyangka Rasulullah SAW begitu prihatin sekali kepada mereka yang peranannya kecil tetapi sumbangannya amat besar.

Rasulullah SAW kemudian bertanya lagi, "Kalau begitu, kamu tunjukkan di manakah kubur lelaki itu. Aku ingin sekali menziarahinya."

Para sahabat kemudian membawa Rasulullah SAW menziarahi kubur lelaki yang letaknya tidak jauh dari situ. Sebaik sahaja Rasulullah SAW sampai di kubur lelaki yang masih baru itu, Rasulullah SAW terus berdoa.

"Ya Allah, ya Tuhan kami. Berikanlah rahmat dan keampunan terhadap semua ahli kubur termasuk roh lelaki yang selama ini menjaga kebersihan Masjid Nabawi." Doa Rasulullah SAW kemudian diaminkan oleh para sahabatnya.

Selepas berdoa dan sebelum Rasulullah SAW beredar dari tanah perkuburan itu, Rasulullah SAW telah berpaling kepada para sahabatnya dan berkata, "Selama ini semua penghuni kubur di sini berasa dalam kegelapan. Alhamdulillah sekarang Allah telah memperkenan permohonanku. Allah telah menerangkan semua kubur ini termasuklah kubur lelaki berkulit hitam ini."

Pada malam hari semua kubur di situ didapati bercahaya kerana mendapat rahmat dan keampunan Allah dengan bantuan doa daripada Rasulullah SAW. Peristiwa itu secara tidak langsung memberikan peringatan kepada para sahabat supaya sentiasa menghargai setiap sumbangan kebaikan walaupun sumbangan itu kecil kerana pada hakikatnya sumbangan itu sangat besar di sisi Allah.

"Kamu harus ingat, sesungguhnya Allah menilai sumbangan seseorang bukan berpandukan besar atau kecil, banyak atau sedikit tetapi berpandukan keikhlasan hati mereka yang melakukannya," Rasulullah SAW mengingatkan para sahabatnya.
sumber : Muhd Nasruddin Dasuki, 2010, Aku Sanggup Duhai Muhammad..., Karangkraf hlm 13